Misteri Lubang Hitam di Luar Angkasa
MISTERI lubang hitam yang bertebaran di angkasa lepas dikatakan
menyamai konsep kejadian aneh yang berlaku di Segitiga Bermuda apabila
kapal atau kapal terbang yang melintasi kawasan perairan itu ghaib
secara tiba-tiba.
Bagaimanapun, lubang hitam seumpama lubang gergasi, saiznya lebih
luas daripada matahari serta terawang di angkasa menyedut apa saja yang
mendekatinya termasuk planet. Malah kekuatan sedutannya menyebabkan
cahaya yang tidak memiliki jisim juga tidak mampu melepaskan diri.
Misteri yang menyelubungi kejadian lubang hitam itu bagaimanapun
hanya mampu dikaji dari jauh lantaran kemampuan sains dan teknologi
manusia nyata masih belum mampu membawa mereka menghampiri lubang itu. Menggunakan teleskop dan pengamatan terhadap bintang yang disesuaikan
pula dengan pelbagai hukum fizik yang berlegar sekitar bumi, pelbagai
teori dikemukakan bagi mengisi kekosongan pada ruangan jawapan yang
dicetuskan misteri alam itu.
Antara teori diterima pakai ahli astronomi adalah teori yang sama
digunakan alat penyedut hampa gas – kekuatan lubang hitam terjadi
berikutan tarikan graviti dalam lubang itu adalah kuat berbanding
tarikan sekelilingnya. Justeru, apa saja yang menghampirinya akan
disedut.
Bagaimanapun, kekuatan gravitinya ‘luar biasa’ dan amat dahsyat.
Dikatakan jika kekuatan graviti itu wujud di bumi, ia akan memampatkan
saiz planet ini menjadi sekecil bola yang berjejari sekitar satu
sentimeter.
Teori lubang hitam sebenarnya dikemukakan lebih 200 tahun lalu. Pada
1783, ilmuwan Barat, John Mitchell mencetuskan teori mengenai
kemungkinan wujudnya lubang hitam selepas beliau meneliti teori graviti
Isaac Newton.
Beliau berpendapat jika objek yang dilemparkan tegak lurus ke atas
akan terlepas dari pengaruh graviti bumi selepas mencapai kelajuan lebih
11 kilometer perdetik, maka tentu ada planet atau bintang lain yang
memiliki graviti lebih besar daripada bumi.
Bagaimanapun, perkataan ‘lubang hitam’ pertama kali digunakan ahli
fizik Amerika Syarikat, John Archibald Wheeler pada 1968. Wheeler
memberi nama demikian kerana lubang hitam tidak dapat dilihat kerana
cahaya turut disedut ke dalamnya sehingga kawasan sekitarnya menjadi
gelap.
Menurut teori evolusi bintang, asal lubang hitam adalah sejenis
bintang biru yang memiliki suhu permukaan melebihi 25,000 darjah
Celcius. Ketika pembakaran hidrogen di bintang biru yang memakan waktu
kira-kira 10 juta tahun selesai, ia menjadi bintang biru raksasa.
Kemudian, bintang itu menjadi dingin dan bertukar kepada bintang
merah raksasa. Dalam fasa itulah, akibat tarikan gravitinya sendiri,
bintang merah raksasa mengalami ledakan dahsyat atau disebut Supernova
dan menghasilkan dua jenis bintang iaitu bintang Netron dan lubang
hitam.
Pengamatan dari teleskop sinar-X ruang angkasa selama lebih dari satu
dekad menunjukkan kekuatan tarikan graviti lubang itu menyebabkan ada
bintang yang hancur dan ditelan olehnya.
Sebelum ini, ahli astronomi sudah melihat bagaimana lubang hitam
menyedut gas yang berterbangan di sekitarnya. Gas yang disedut itu
menjadi panas sehingga memancarkan radiasi dalam pelbagai panjang
gelombang, mulai daripada gelombang radio hingga gelombang cahaya tampak
dan sinar-X.
Berdasarkan pengamatan, ahli astronomi dari Max Planck Institute for
Extraterrestrial Physics, Jerman, pernah melihat sebuah bintang yang
mendekati lubang hitam raksasa akhirnya lesap ditelan lubang itu.
Lubang hitam raksasa yang dilihat itu berada di pusat galaksi RX
J1242-11 yang jaraknya dianggarkan 700 juta tahun cahaya dari bumi.
Bintang yang disedut lubang hitam itu pula memiliki ukuran sebesar
matahari sistem suria kita.
Bintang itu hancur sedikit demi sedikit dan disedut ke dalam lubang
itu selama beberapa hari. Pada peringkat awalnya, bintang itu kehilangan
gas yang berada di sekelilingnya.
Selepas itu, bintang itu menjadi panas hingga jutaan darjah Celcius
dan hilang ditelan lubang hitam. Dalam proses itu, ia melepaskan tenaga
yang kuat iaitu setara dengan tenaga yang dihasilkan pada ledakan
Supernova.
Ahli astronomi mengesan kedudukan lubang hitam dengan memperhatikan
cahaya di sekitar bintang ataupun gas di angkasa. Apabila di suatu
tempat itu tidak ditemui cahaya tetapi di sekitarnya terdapat banyak
objek angkasa menuju ke satu titik dengan kecepatan tinggi sebelum
hilang, maka titik berkenaan ditandakan sebagai lubang hitam.
Terdapat banyak lubang hitam di seluruh semesta malah ada teori yang
mengatakan di galaksi Bima Sakti ini juga terdapat sebuah lubang hitam.
Justeru timbul persoalan sama ada matahari kita dan planet yang
mengelilinginya termasuk bumi akan disedut lubang hitam itu?
Ahli astronomi memberikan jawapan, ‘tidak’ kerana berbanding galaksi
lain, lubang hitam di Bima Sakti dikatakan dalam keadaan tenang
disebabkan sedikit saja objek sekitar yang disedutnya.
Misteri yang menyelubungi lubang hitam akan terus menarik minat ahli
astronomi sehinggalah satu jawapan yang benar diperoleh. Selagi manusia
belum mampu menjelajah jauh ke luar angkasa, selagi itulah jawapan itu
gagal diperoleh dan pelbagai teori tanpa bukti akan terus dikemukakan
bagi ‘menyelesaikan’ misteri alam itu.
Fakta: Lubang Hitam
Turut dikenali sebagai ‘bintang hitam’ dan ‘singularitas’.
Kewujudannya dikesan pada 1783 oleh John Mitchell.
Luasnya melebihi saiz matahari.
Menyedut apa saja di sekelilingnya termasuk bintang dan cahaya.
Teori sedutan akibat tarikan graviti di lubang hitam lebih kuat dari kawasan sekitarnya.
Teori menyatakan ia berlaku akibat letupan Supernova bintang merah raksasa.
Turut dikenali sebagai ‘bintang hitam’ dan ‘singularitas’.
Kewujudannya dikesan pada 1783 oleh John Mitchell.
Luasnya melebihi saiz matahari.
Menyedut apa saja di sekelilingnya termasuk bintang dan cahaya.
Teori sedutan akibat tarikan graviti di lubang hitam lebih kuat dari kawasan sekitarnya.
Teori menyatakan ia berlaku akibat letupan Supernova bintang merah raksasa.

Tidak ada komentar:
Posting Komentar